Followers
Tuesday, 13 November 2012
Tips Mengekalkan Rumahtangga Yang Bahagia
Tips Mengekalkan Rumahtangga Yang Bahagia....
Kebahagiaan merupakan perkara yang sentiasa ingin dinikmati oleh mana-mana pasangan yang telah berumahtangga. Terdapat beberapa tips dan panduan yang mampu untuk mengeratkan hubungan yang kukuh antara pasangan anda:
1. MURAH DENGAN SENTUHAN DAN BELAIAN KASIH SAYANG:
Berikanlah ciuman, sentuhan, belaian dan pelukan mesra kepada pasangan anda selalu. Belaian dengan penuh rasa kasih sayang dipercayai dapat membantu pasangan untuk kelihatan awet muda dan berketerampilan menarik. Sekiranya pasangan kecil hati atau merajuk, pujuklah dengan pelukan romantik supaya hatinya menjadi gembira semula.
2. TIDAK TERLALU MENGONGKONG:
Elakkan terlalu mengongkong pasangan anda. Berikanlah dia peluang untuk melakukan sesuatu asalkan tidak melanggar batas hubungan rumahtangga. Peluang dan kesempatan yang diberikan oleh anda membuatkan pasangan berasa sentiasa dipercayai dan dihargai.
3. MENCARI KEBAIKAN:
Carilah kebaikan pasangan anda selalu. Jauhi sikap mencari kelemahan atau kekurangan pasangan kerana ianya seolah-olah membuatkan anda tidak percaya dan tidak yakin akan kemampuannya.
4. MURAH DENGAN PUJIAN DAN GALAKAN:
Pujian dan galakan merupakan sikap untuk menunjukkan perasaan sokongan, bangga, kagum, terharu dan berterima kasih kepada pasangan anda. Misalnya, suami yang memuji isterinya pandai memasak, mengemas rumah dan melayannya dengan sempurna.
5. ELAKKAN PERDEBATAN:
Jauhi segala perdebatan, salah faham, mengungkit dan menyindir pasangan anda sebaliknya selesaikan masalah tersebut dengan tenang tanpa mengikut perasaan. Sekiranya masalah itu disebabkan oleh pasangan kita, sedialah untuk memaafkannya. Sebaliknya, jika masalah itu datangnya daripada diri kita, mohonlah kemaafan daripada pasangan anda dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi.
6. MENJAGA HATI DAN MARUAH PASANGAN:
Hati dan maruah pasangan haruslah dijaga demi mengekalkan rasa hormat menghormati di dalam rumahtangga. Elakkan menggunakan sebarang kata-kata sensitif yang mampu menyinggung perasaan dan maruah pasangan. Misalnya, dengan tidak menegur kesalahan isteri di depan tetamu atau khayalak ramai. Bisiklah secara senyap tanpa didengari oleh orang lain.
7. KERAP BERKOMUNIKASI, BERBUAL DAN BERGURAU SENDA:
Gurauan yang betul dan tidak melebih-lebih mampu menghiburkan hati pasangan anda. Berbuallah topik-topik yang sesuai agar hubungan anda lebih serasi dan harmonis.
Misalnya, berbual mengenai kemajuan pelajaran anak-anak, berbual mengenai rancangan untuk bercuti, berkelah, berkongsi cerita lawak dan lain-lain lagi asalkan anda tidak mengapu-apu atau merepek.
Jadilah pendengar yang baik dengan memberi perhatian kepada setiap perkara yang ingin disampaikan oleh pasangan anda. Jangan cuba sesekali mengabaikan atau tidak mengendahkan apa yang cuba disampaikan oleh pasangan anda biarpun ianya kurang penting atau tidak berkaitan dengan anda. Bayangkan sekiranya pasangan anda melakukan perkara yang sama ketika anda berbicara. Sudah pasti anda kecil hati atau marah, bukan.
8.CARI KEBAIKAN DAN KELEMAHAN DIRI:
Sekiranya berlaku pertengkaran kecil atau salah faham, cubalah mencari kebaikan dan pembaikan diri daripada setiap pertengkaran tersebut. Fahamilah bahawa salah faham atau pertengkaran itu mungkin timbul kerana kesan daripada sesuatu perkara yang tidak begitu menyenangkan hati pasangan anda.
Jadi cubalah kenalpasti perkara tersebut dan berusaha untuk tidak mengulanginya lagi. Dengan cara mengakui kelemahan diri, maka segala kelemahan akan dapat diperbaiki.
9. SENTIASA BERTERUS TERANG:
Berterus teranglah dengan pasangan anda mengenai sesuatu perkara. Jangan menyembunyikan sesuatu perkara daripada pengetahuan pasangan ini kerana ianya akan menimbulkan rasa curiga dan salah faham.
Ada kalanya, sesuatu perkara mungkin membuatkan pasangan anda agak terasa, tetapi adalah lebih baik jika diberitahu secara berterus terang. Sudah pasti pasangan akan bersedia untuk mendengar dengan hati yang terbuka kerana sifat anda yang ikhlas, jujur serta tidak menyembunyikan sesuatu perkara.
10. BERFIKIRAN TERBUKA DAN SALING TEGUR MENEGUR:
Menegur pasangan anda secara betul bukan merupakan cara untuk mencari kelemahan atau kekurangannya melainkan untuk memperbaiki kelemahan yang ada. Anda juga layak ditegur oleh pasangan agar kelemahan dan kekurangan diri dapat dikenalpasti.
Sikap saling tegur menegur secara betul dan positif mampu menjadikan hubungan itu semakin sempurna kerana kelemahan dan kekurangan yang ada pada diri dapat diperbaiki bersama-sama. Jauhilah sikap "pantang ditegur" oleh pasangan anda.
Kebiasaannya, ego yang tinggi menghalang seseorang untuk ditegur. Terimalah teguran seadanya dengan sikap positif dan terbuka. Katakan secara jujur kepada pasangan anda sebab dirinya ditegur dan sedia untuk memaafkannya.
11. BERILAH PELUANG:
Berilah peluang kepada pasangan anda khasnya dari segi perbezaan pendapat, hobi, kegemaran, makanan, citra rasa dan warna pilihan.
Jangan terlalu ego untuk tidak memberi peluang kepada pasangan anda bagi mengelakkan diri dilabelkan sebagai "mementingkan diri" dan "tidak memahami perasaan". Jika ini berlaku, pasangan anda pasti akan terasa dan berkemungkinan akan terus merajuk.
Sekiranya anda kurang berminat dengan apa yang diminati oleh pasangan anda, cubalah untuk menyesuaikan diri supaya anda akan menjadi berminat. Bak kata pepatah "Tak kenal, maka tak cinta". Tindakan seperti ini akan mampu mewujudkan keserasian di dalam hubungan.
Sekiranya diamalkan dengan baik, sudah pasti hubungan anda akan terus kekal selamanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment